Sunday, September 11, 2011

Ramadhan yang lalu.

"Tarikh Hari Raya puasa 1432 Hijrah jatuh pada 30 Ogos 2011." Pengumuman keramat yang ditunngu-tunggu untuk menandakan kedatangan Syawal yang mulia dan pemergian Ramadhan yang penuh berkat. Aku juga seperti orang lain. Gembira. Bahagia. Kerana kedatangan Syawal yang pastinya meriah dan bermakna.

Seperti orang lain, Hari Raya pastinya disambut dengan menziarahi sanak saudara dan keluarga. Aku juga begitu. Sungguh seronok dapat bertemu saudara-mara dan jiran tetangga yang sudah lama tidak bertemu. Makanan apatah lagi. Terbaik. Macam-macam ada. Apatah lagi setelah sebulan berpuasa.

Aku nampak sekumpulan anak muda. Lebih kurang sebaya dengan aku. Aku ambil sepinggan satay berserta kuah kacang. Lalu terus duduk bersama mereka. Filem baru,kereta, Iphone, kahwin, sambutan raya dan pelbagai lagi menjadi topik perbualan mereka. Aku turut serta. Topik itu kena dengan jiwa aku. Sambil satu persatu satay menjamah bibirku, pelbagai lagi dibincangkan bersama. Sampai tidak sedar habis sudah satay dipingganku. Sungguh bahagia hari raya kali ini.

Aku bingkas bangun. Membawa pinggan kosong ke dapur. Tiba-tiba terlihat makcik-pakcik yang sudah senja umurnya. Kedutan kulit di tangan serta uban putih jelas kelihatan. Selesai membasuh pinggan, aku menuju ke arah mereka. Sambil mengucapkan salam aku duduk bersama mereka.

"Tahun ini dah tak larat macam tahun lepas. Bangun malam pun sempat 10 malam terakhir je. Harap-harap dapat Lailatulqadar."

"Samalah. Qiamullail dah tak penuh tahun ni. Ada yang tak terbangun sebab sakit-sakit badan. Sedih sangat. Kalaulah ini Ramadhan terakhir."

"Terawikh pun mampu buat 8 rakaat saja tahun ni."

"Aku pulak demam seminggu.Puasa pun tak larat. Biasalah ada kencing manis. Tak larat berpuasa. Seminggu tak dapat bangun malam dan qiamullail."

"Bagus betul imam kat masjid kita. Buat 20 rakaat pun tak terasa. Bacaan sedap didengar dan tidak terlalu panjang. Sesuailah dengan umur kita yang tua ni."

"Marilah doakan kita berjumpa dengan Lailatulqadar. Insyaallah. Hanya Dia yang tahu."

Darah menyirap hingga ke kepala. Aku tertunduk diam mendengar perbualan mereka.

Berapa kali sangat aku pergi teraweh? Tu pun 8 rakaat. Tak pernah 20 rakaat. Berapa kali aku bangun sembahyang malam sepanjang Ramadhan lepas? Atau tiada langsung? Ada aku berusaha mencari Lailatulqadar?

Mereka ini sudah lanjut usianya. Kesihatan tidak seberapa. Tenaga pun lemah. Tapi mampu untuk semua itu. Aku? Umur masih muda. Badan masih sihat. Tenaga masih kuat. Tapi Ramadhan aku hanyalah menahan diri dari lapar dan dahaga. Ramadhan aku hanya untuk menunggu sambutan hari raya.

Astaghfirullahalazim. Aku malu dengan diri sendiri. Kalaulah tahun ini Ramadhan terakhir aku? Tanpa kusedari, air mata mula menuruni kelopak mataku.

p/s: Apa ertinya Ramadhan kali ini untuk kita? Semakin baik, sama saja atau semakin teruk dari Ramadhan yang lalu?


No comments:

Post a Comment