Thursday, July 21, 2011

Air mata cinta

Jatuh lebat air mata ku menonton filem Nurkasih The Movie. Kasih Adam dan Nur sangat menyentuh hati ini. Cinta mereka menyentuh kalbu. Merah mata ini setelah 2 jam mengadap laptop. Murah benar air mataku untuk senang berguguran kerana sebuah kisah. Hanya kerana sebuah kisah rekaan.

Kehidupan kita 24 jam. Perjalanan hidup menggunakan 5 deria kurniaan Yang Maha Esa. 24 jam pancaindera kita gunakan. Melihat, mendengar, merasa, menghidu dan sebagainya. Pahala pasti menggunung jika diguna secara betul tapi jika salah penggunaannya? Masya Allah 24 jam penggunaan pancaindera kita mengutip dosa untuk dihitung di hari akhirat. Tidak mahu menangiskah kita? Mahal sungguh air mata untuk gugur kerana itu. Berat sekali air mata untuk turun menyembah pipi. Sedangkan ini realiti. Ini kisah benar. Ini kisah kita yang dicatat Malaikat Raqib dan A'tid yang setia.

Solatku 5 kali sehari. Orang kata solat itulah medium komunikasi kita dengan Allah. Komunikasi hati ke hati. 5 kali aku bersolat maka 5 kali juga tangan diangkat memohon pelbagai doa dan hajat. Memohon hanya pada-Nya yang Maha Esa. Tapi dengan iringan air matakah doa aku? Dengan kekhusyukan hatikah doa aku? Dengan penuh rintihankah doa aku? Atau hanya sebagai satu syarat untuk berdoa selepas solat. Seakan-akan doa itu juga termasuk dalam 13 rukun solat. Seakan-akan tidak sah solatku tanpa doa. Sehingga hilang kemanisan dan keindahan tutur doa pada Sang Pencipta.

Air mata itu berharga. Tiada ternilai. Gugurkan ia dihadapan Pencipta Yang Agung. Mengharapkan keampunan dari-Nya. Mendambakan cinta-Nya. Merintih kasih dan sayang-Nya. Alangkah mahalnya air mata itu, jika ia gugur kerana-Nya, cinta yang hakiki.

No comments:

Post a Comment